Monday, November 15, 2010

Mitos Keamanan

Langit cerah menjadi terang
dentuman nan jauh kedengaran
membelah sunyi alam
butir-butir peluru tak kenal sasaran
tidak mengenal siapa tuan
tidak mengenal siapa lawan
terus menembusi raga berjiwa

Tangisan si kecil bergema
sayup-sayup di udara
di celah ribut pertempuran
terkapai-kapai mencari tempat berpaut

Mungkinkah pernah terlintas di benak fikirannya
kenapa ini semua terjadi?
kenapa aku mangsanya?
adakah ini takdir bangsa ku?
pupus di hujung perang

Sesekali
potong-potong kenangan menerjah
cemeka wajah ayah dan bonda
tersenyum riang
menanti saat dewasa
tapi itu hanya kenangan

Cebisan-cebisan daging mentah
menutupi bumi
darah mewarnai tanah
menjadi hanyir kemerahan
gadis-gadis sunti
dicincang-cincang sucinya
dirobek-robek maruahnya
diperlakukan seperti boneka galaknya

Keamanan dinanti tidak kunjung tiba
peperangan terus bermaharajalela
hati membengkak melihat telatah sang durjana
memacukan senjata ke muka
meruntuh pusat ibadah
mengganyang pusat ilmu
menabrak tamadun yang dibina
demikian perilaku manusia ahmak
demikian wajar terlaknat dihukum

Petualang apa namanya ini?
kemusnahan beraja bernafsu
mana mungkin terbayar
nyawa-nyawa yang terlucut dari jasadnya
dirampas tanpa rela sang empunya

Dunia bagaikan terus terpaku
tangan dan kakinya dipasung
hanya terdaya menghambur kata bantahan
tidakkah mereka sedar
insan lemah terus diratah

Mari kita bergandingan bahu
hulurkan tangan
ringankan beban
agar sinar harapan bertunas kemabali
berkembang mekar mewangi
memecah mitos keamanan

Apik Murni
Labuan, 2009

Roslina dan Apik

Sajak yang aku tulis dan deklamasikan semasa mewakili Kolej Matrikulasi Labuan (KML) ke Port Dickson sempena Minggu Kreatif dan Inovasi Matrikulasi 2009. Walaupun tidak mendapat tempat tapi tahniah buat kawan aku Roslina sebab dia dapat tempat ke-3 >.<

Pernah dideklasmikan semasa Pesta Konvo UNIMAS ke-14 (Malam Penghayatan Islam)

Sepanjang ingatan aku, semasa sekolah menengah aku pernah masuk pertandingan mendeklamsikan sajak semasa tingkatan 3 dan merupakan pengalaman yang sangat memalukan. Terima kasih kepada Mr Emanuel Godsung @ Mr E atas galakan agar mengikuti pemilihan wakil sajak KML. Sebenarnya untuk menambah keyakinan sebab masa tu ada imengkuti pemilihan juruacara. Tajuk untuk sajak yang aku deklamasikan pada masa itu memang aku tak ingat sebab semuanya last minit. Tapi tidak di sangka masuk final dan terus mewakili KML. Yippi!!

Sherina (sekarang berada di UNIMAS mengaji Jurusan Kejuruteraan Kimia) WOW!! Dialah mentor yang mengajar aku teknik dan cara bersajak. Tidak pernah aku mendengar orang bersajak sampai kita rasa berdiri bulu roma tapi dialah orang pertama yang berjaya bersajak sampai tahap begitu. Sampai sekarang belum lagi masanya aku berjaya mengatasi dia.

Seterusnya mestilah pensyarah KML, Unit Dinamika Kemahiran.

Roslina, teman seperjuangan yang hebat juga bersajak.

Wan Fareez (Zoology Tahun 2 UNIMAS) atas kritikan yang membina dan tip-tip membuat sajak.

Rakan sebilik Goh (Story Telling, MiKIM 2009), Alvin dan Shahril atas kesabaran mendengar aku melalak menghafal sajak setiap hari.

Allahyarham Shahir yang memberi kritikan yang sangat telus merangkap jiran bilik.

Sokongan Tutorial H6T36 yang sangat berapi!

Kepada semua yang memberi sokongan.

Sayang kamu semua!


No comments:

Post a Comment